MEMPERTINGKATKAN SUMBANGAN PERBANKAN ISLAM DALAM PERDAGANGAN ANTARABANGSA

Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2017 baru melabuhkan tirainya. Ia berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Oktober 2017 di hotel Istana, Kuala Lumpur. Forum ini telah berjaya menarik ratusan pakar kewangan Islam dari seluruh negara. Salah satu program penting KLIFF pada tahun ini ialah persidangan meja bulat yang diadakan dengan kerjasama pusat penyelidkan dan latihan CERT, Amanie Advisors, majalah Malaysian Business dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tema yang dibincangkan ialah operasi dagang secara Islam (Islamic trade finance). Seramai 30 pakar telah dijemput untuk berkongsi pandangan tentang isu tersebut. Mereka membincangkan bagaimana bank-bank Islam di Malaysia dapat menyumbang dengan lebih signifikan kepada aktiviti perdagangan antarabangsa. Kini, sektor operasi dagang hanya mewakili 5 peratus dari keseluruhan transaksi perbankan Islam negara. Pencapaian ini tidaklah memberangsangkan. Justeru, titah Sultan Nazrin semasa pembukaan KLIFF yang bertajuk ‘Real Finance for Real Economy’ adalah tepat pada masanya.

Jumlah export Malaysia dari bulan Januari hingga Julai pada tahun ini adalah sebanyak RM478 billion. Hasil ini adalah peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh yang sama. Negara-negara Islam yang menjadi rakan dagangan utama Malaysia termasuklah Indonesia, United Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi. Soalnya mengapa instrumen perbankan Islam tidak popular di kalangan pengeksport dan pengimport dari negara-negara Islam sendiri? Selain itu, kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub industri halal. Adakah bank-bank Islam telah bersedia menyahut cabaran ini dengan menyediakan produk dan servis kewangan untuk keseluruhan rantaian perniagaan bermula dari pengeluaran, pengeksportan dan penerimaan bayaran.

Setakat ini belum ada lagi institusi perbankan Islam Malaysia yang boleh dinobat sebagai peneraju aktiviti perdagangan antarabangsa. Rata-rata bank Islam hanya menawarkan produk yang paling asas dalam urusan eksport dan import seperti surat jaminan bank. Jadi, strategi pertama untuk mengembangkan sektor ini adalah dengan menyediakan pakej produk dan servis lengkap kepada pengeksport dan pengimport. Produk dan servis baru yang diwujudkan mestilah benar-benar mempunyai kelebihan berbanding dengan produk perbankan konvensional. Ahli-ahli perbankan Islam perlu mengubah cara berfikir dan bekerja untuk mencapai hasrat ini. Mereka perlu memahami selok-belok operasi dagang dan mengutamakan kehendak pelanggan. Tiga perkara yang diberi keutamaan oleh pengimport dan pengeksport ialah kecekapan urusan, servis yang boleh dipercayai dan harga yang munasabah.

Sebagai langkah segera untuk menawarkan pakej lengkap ini, bank-bank Islam boleh meneliti produk dan servis yang telah wujud di perbankan konvensional. Standard operasi prosedur (SOP) yang tidak bercanggah dengan syarak boleh diguna pakai untuk produk Islamik. Selain itu, bank-bank Islam sepatutnya memberi penekanan kepada teknologi baru dalam era ekonomi digital ini bagi mempercepatkan proses pengendalian dokumen.

Strategi kedua ialah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti MATRADE untuk mempromosikan produk dan servis yang ditawarkan. MATRADE mempunyai jaringan pengusaha-pengusaha perniagaan yang berurusniaga dengan negara-negara Islam. Senarai tersebut dapat membantu bank-bank Islam menembusi sektor operasi dagang.

Strategi ketiga ialah mewujudkan satu konsortium yang akan terlibat secara aktif dalam aktiviti perdagangan antarabangsa. Konsortium ditubuhkan atas hasil kerjasama di antara bank-bank Islam yang bertujuan untuk mengendalikan sepenuhnya urusan import dan eksport. Konsortium ini dilihat akan lebih fleksibel dalam memenuhi keperluan pengimport dan pengeksport berbanding dengan struktur korporat institusi perbankan.

Namun begitu, beberapa cabaran perlu ditangani terlebih dahulu sebelum bank-bank Islam mempergiatkan usaha di dalam sektor operasi dagang ini. Pertama, bank-bank Islam perlu memastikan penarafan kredit mereka di peringkat antarabangsa adalah di tahap yang baik. Tanpa penarafan kredit yang baik sukar untuk bank-bank lain melakukan transaksi dengan mereka. Kedua, penglibatan bank-bank Islam dengan industri kecil dan sederhana (IKS) perlu ditingkatkan. Hal ini kerana industri import dan eksport melibatkan ramai pengusaha-pengusaha di skala pertengahan. Bank-bank Islam perlu lebih mendekati industri IKS dan membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa. Bank-bank Islam perlu lebih berani berkongsi bukan memindahkan risiko semata-mata.

Semoga, institusi perbankan Islam berjaya mencapai matlamat ini. Sememangnya aktiviti perdagangan adalah tonggak utama yang dianjurkan Islam sebagai alternatif kepada transaksi riba.

Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.