Oleh: Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin (Pengarah I-iECONS 2023)

banner

14 Ogos 2023 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan “The 10th International Islamic Economic System Conference (I-iECONS 2023)” yang bertempat di Millennium Makkah Al-Naseem Hotel, Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi baru-baru ini. Persidangan dwi tahunan anjuran FEM ini telah memasuki siri ke-10 dan ketiga kalinya dilaksanakan di luar negara selepas iECONS 2015 di Krabi, Thailand dan iECONS 2017 di Muscat, Oman.

perasmian
Majlis Perasmian I-iECONS 2023

Pada kali ini, I-iECONS 2023 telah mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kalinya diadakan secara hybrid di mana sesi pembentangan atas talian dilaksanakan pada 7 Ogos 2023 manakala sesi fizikal pula dilaksanakan pada 14 Ogos 2023. Pelaksanaan program I-iECONS 2023 kali ini telah disertai kira-kira 150 peserta dan tetamu jemputan dari dalam dan luar negara.

peserta
Perserta I-iECONS 2023

Sebanyak 72 kertas kerja telah dibentangkan pada sesi pembentangan secara atas talian dan 56 kertas kerja pula telah dibentangkan pada sesi fizikal dibawah tujuh tema berkaitan ekonomi Islam. Penyertaan kali ini turut menarik penyertaan dari lebih 40 institusi pendidikan tinggi dari 14 buah negara termasuklah dari Malaysia, Algeria, Arab Saudi, Austalia, Brunei, Filipina, Indonesia, Palestin, Tunisia, Turkiye, UAE dan United Kingdom.

nc
Ucaptama oleh Naib Canselor USIM

Selain itu, sebanyak dua ucaptama berkaitan ekonomi Islam telah disampaikan pada I-iECONS 2023. Ucaptama pertama adalah bertajuk “Halal Industry Ecosystem and its Impact on Innovative Islamic Finance” yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM. Manakala, ucaptama kedua pula bertajuk “Sustainable Development through Innovative Economic Transformation” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad.

forum
Sesi Forum

Tambahan pula, satu sesi forum turut diadakan dengan kerjasama daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan membahaskan berkenaan “Maqasid al-Shariah and Responsible Investment Index (MSRI)”. Indek MSRI merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan oleh pihak PNB menerusi penyelidikan Kerusi Profesor Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) bersama pihak FEM USIM dalam menilai pelaburan yang bertanggungjawab yang berteraskan Maqasid al-Shariah. Ahli-ahli panel forum yang terlibat termasuklah Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB, Prof. Dr. Fauzias Mat Nor, Penyandang Kerusi Profesor YTI dan Prof. Dr. Amir Shaharuddin, Pengerusi Jawatankuasa Syariah, SME Bank Berhad.

polisi
Sesi Perkongsian Dokumen Polisi MIA

I-iECONS 2023 kali ini juga turut mengandungi satu sesi perkongsian berkenaan dokumen polisi nasional bertajuk “White Paper on Shariah Audit” yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Accountants (MIA) yang merupakan sebahagian daripada hasil kajian bersama diantara pihak MIA dan FEM USIM yang diketuai oleh Prof. Dr. Zurina Shafii. Dokumen polisi ini merupakan rentetan daripada desakan untuk mempunyai satu garis panduan khusus berkenaan audit syariah terutamanya bagi industri berasaskan syariah seperti kewangan Islam, pasaran modal Islam, kooperasi Islam, institusi kerajaan berasaskan syariah dan juga institusi berkepentingan awam yang lain. Sesi perkongsian ini disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, professor daripada FEM USIM.

alumni
Bersama Alumni Chapter Timur Tengah USIM

Pada masa yang sama, satu sesi pelancaran Alumni USIM Chapter Timur Tengah turut diadakan bersempena dengan penganjuran I-iECONS 2023. Sesi pelancaran ini telah dilancarkan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM yang turut disertai oleh Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM. Pada sesi yang sama, penyampaian watikah pelantikan wakil Alumni Chapter Timur Tengah USIM turut dibuat terhadap Dr. Idris Mukhtar yang kini berkhidmat di Islamic Corporation for the Development of Private Sector, Islamic Development Bank Group (IsDB), Jeddah, Arab Saudi. Dr. Idris Mukhtar yang berasal dari Nigeria adalah merupakan Alumni Doktor Falsafah Ekonomi FEM USIM pada tahun 2020.

pembentangan
Sesi Pembentangan Kertas Kerja

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan I-iECONS 2023. Ini termasuklah para penaja daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Headir & Co., Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan penaja-penaja individu yang lain. Selain itu, ucapan terima kasih juga turut diucapkan kepada rakan-rakan kolaborasi I-iECONS 2023 yang turut serta menjayakan I-iECONS 2023 yang terdiri daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Universitas Indonesia (Indonesia), Universiti Kebangsaan Malaysia (Malaysia), Universiti Islam Madinah (Arab Saudi) dan University of Prince Mughrin (Arab Saudi).

ajk
Ahli Jawatankuasa I-iECONS 2023

Akhirnya, ucapan penghargaan turut dizahirkan kepada semua ahli jawatankuasa I-iECONS 2023, warga FEM USIM serta individu-individu lain yang telah terlibat di dalam menjayakan I-iECONS 2023 sama ada secara langsung atau tidak langsung.