14 SEPTEMBER 2023 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi telah menerima pengiktirafan daripada Malaysian Institute of Accountants (MIA) apabila sebuah kertas dasar bertajuk “White Paper on Shariah Audit” telah dilancarkan oleh Y.Bhg. Datuk Bazlan Osman, Presiden MIA semasa Audit Committee Conference 2023 yang diadakan di The Vertical, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Sesi Pelancaran Kertas Dasar Audit Syariah

Kertas dasar ini merupakan hasil daripada kajian oleh pasukan penyelidik daripada FEM yang diketuai oleh Prof. Dr. Zurina Shafii. Selain itu, pasukan penyelidik ini juga turut dianggotai oleh Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, Dr. Supiah Salleh dan Dr. Nurazalia Zakaria.

Tujuan penghasilan kertas dasar ini adalah untuk menyatakan kepentingan untuk mempunyai proses pematuhan Syariah terhadap perkhidmatan dan produk kewangan Islam, khususnya melalui pelaksanaan struktur tadbir urus Syariah dan amalan audit Syariah yang mencukupi. Tambahan pula, kertas dasar ini juga bertujuan untuk memberikan gambaran keseluruhan peraturan dan amalan semasa yang pelbagai, serta isu dan cadangan dasar berkaitan audit Syariah di institusi berasaskan Syariah di Malaysia.

Bersama Presiden Institute of Internal Auditors Malaysia (IIAM)

Bagi penghasilan kertas dasar ini, kerjasama penyelidikan berkenaan audit Syariah di antara pasukan penyelidik FEM USIM dan MIA telah bermula pada tahun 2020. Di bawah skim geran padanan, kajian ini telah menjalankan peyelidikan untuk mengenal pasti amalan semasa audit Syariah di institusi berasaskan Syariah di Malaysia. Ini termasuklah sektor kewangan Islam, sektor pasaran modal Islam, sektor koperasi Islam, institusi berasaskan Syariah sektor awam dan entiti amanah awam.

Di dalam mendapatkan maklumbalas daripada institusi berasaskan Syariah yang terlibat, sebanyak 124 pemegang taruh daripada institusi berasaskan Syariah telah dilibatkan menerusi 5 perbincangan meja bulat (roundtable discussion @ RTD). RTD sektor kewangan Islam telah melibatkan seramai 16 wakil daripada 8 perbankan Islam, 4 institusi takaful dan wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Manakala, RTD sektor pasaran modal Islam pula telah melibatkan seramai 17 wakil daripada 2 syarikat Islamic Real Estate Investment Trust (i-REIT), 3 syarikat broker Islam, 1 syarikat pendanaan awam (crowdfunding), 8 syarikat pengurusan dana Islam dan wakil daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Bagi RTD sektor koperasi Islam, seramai 49 wakil telah terlibat merangkumi 2 koperasi perbankan, 5 koperasi kredit, 1 koperasi pertanian, 12 koperasi hal ehwal pengguna, 5 koperasi perkhidmatan selain wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa). Seterusnya, bagi RTD institusi berasaskan Syariah sektor awam pula, 38 wakil daripada 17 institusi telah terlibat. Ini termasuklah wakil daripada 4 institusi zakat, 4 institusi wakaf, 7 Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan wakil daripada Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR). Akhir sekali, RTD bagi entiti amanah awam pula telah melibatkan seramai 4 wakil daripada dua entiti berteraskan awam iaitu daripada Tabung Haji (TH) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Ucapan Perasmian oleh Datuk Bazlan Osman, Presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA)

Menurut Datuk Bazlan Osman selaku Presiden MIA, kertas dasar ini sememangnya ditunggu-tunggu untuk dilancarkan berikutan keperluan semasa terutamanya dalam mendepani jaminan audit Syariah. Beliau juga berkata bahawa kertas dasar ini perlu menjadi rujukan terutamanya oleh syarikat tersenarai awam dan entiti amanah awam yang mempunyai Jawatankuasa Syariah bagi mengukuhkan tadbir urus Syariah.

Prof. Dr. Zurina selaku ketua penyelidik pula berkata, pelancaran kertas dasar oleh MIA merupakan satu pengiktirafan kepakaran kepada USIM dan khususnya kepada FEM apabila diberi kepercayaan bagi melakukan penyelidikan berkaitan audit Syariah di Malaysia. Ini juga menunjukkan selain daripada keberhasilan menghasilkan graduan perakaunan yang diiktiraf oleh MIA, FEM juga diiktiraf dengan mempunyai ahli-ahli akademik yang melakukan kajian berkenaan standard perakaunan khususnya bagi audit Syariah di Malaysia.

Pelancaran kertas dasar diharapkan dapat memanfaatkan para pemegang taruh terutamanya pemain industri di institusi berasaskan Syariah untuk pelaksanaan tadbir urus dan jaminan Syariah yang cekap bagi memastikan kelestarian dan kepatuhan Syariah oleh institusi berkenaan dapat dijamin dan seterusnya meningkatkan tahap akauntabiliti.

Oleh: Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin