USIM Iktiraf IBFIM

Bersempena Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah diadakan pada 13-16 Disember 2022, USIM telah berbesar hati menganugerahkan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) dengan Anugerah Khas Rakan Industri (Kategori Tempatan) USIM 2022. Anugerah ini telah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM.

Penganugerahan ini merupakan simbolik pengiktirafan USIM terhadap kerjasama yang telah dijalinkan bersama IBFIM terutamanya di dalam penawaran program Certified Professional Shariah Auditor (CPSA). Sejak pelancaran program CPSA pada 2019, seramai kira-kira 165 pemegang sijil CPSA telah berjaya dilahirkan. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan kira-kira 670 peserta meliputi 423 peserta daripada pelajar tahun akhir universiti awam Malaysia, 189 peserta daripada 18 institusi perbankan Islam dan bakinya daripada organiasi berkaitan seperti firma pengauditan dan juga peserta luar negara.

Selain itu, kerjasama USIM dan IBFIM juga telah memperlihatkan USIM telah memperolehi empat geran kebolehpasaran graduan (2019-2022) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1,038,550. Tambahan pula, pihak USIM juga telah menerima manfaat hasil daripada pengagihan perkongsian keuntungan yuran peperiksaan program CPSA yang telah dijalankan dengan jumlah terkumpul sebanyak RM356,054.06 sehingga tahun 2022. Ini melibatkan sejumlah RM178,127.26 bagi tahun 2020, RM91,668.00 bagi tahun 2021 dan terkini RM86,258.80 bagi tahun 2022.

IBFIM Iktiraf USIM

Dalam satu majlis yang lain pula, IBFIM telah berbesar hati menganugerahkan USIM dengan IBFIM Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) 2023. Bersempena Majlis Penganugerahan Pensijilan IBFIM Ke-4 yang telah diadakan pada 25 Februari 2023, anugerah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, di Dewan Tun Abdul Razak, Bank Rakyat Convention Centre, Kuala Lumpur.


IBFIM Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) telah mula dianugerahkan sejak 2018 kepada institusi tempatan dan antarabangsa untuk kerjasama cemerlang dengan IBFIM, dalam membangunkan bakat dan profesional mahir dalam kewangan Islam. Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan oleh IBFIM kepada USIM di atas kerjasama yang telah terjalin terutamanya dalam menawarkan program CPSA sejak pengenalan program berkenaan pada tahun 2019.

Untuk makluman, program CPSA merupakan satu program profesional berkaitan audit Shariah yang dinaiktaraf daripada program Shariah audit training (SAT) yang mula diperkenalkan oleh pihak kluster Accounting, Shariah Audit and Governance (ASAG), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) hasil daripada kajian di bawah Skim Geran Knowledge Transfer Programme (KTP) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014.

Program CPSA terdiri daripada 6 modul merangkumi 3 peringkat melibatkan modul Fundamentals of Shariah for Islamic Finance dan Fundamentals of Governance & Auditing di peringkat beginner, modul Accounting & Reporting for Islamic Financial Transactions dan Shariah Risk Management & Internal Control di peringkat intermediate dan modul Shariah Audit Planning & Programme dan Shariah Audit Fieldwork & Communication di peringkat advanced. Kesemua modul ini terhasil dengan melibatkan sejumlah lebih dari 25 proses moderasi validasi yang melibatkan pakar-pakar industri kewangan Islam.

Selain itu, program CPSA telah berjaya menerima akreditasi penuh dari Finance Accreditation Agency (FAA), sebuah agensi akreditasi kewangan antarabangsa di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) serta memperolehi kelulusan dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk hakcipta serta tanda dagangan.

Tambahan pula, program CPSA juga telah diiktiraf oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) di mana modul-modul CPSA diberikan pengecualian bagi pensijilan ASAS. Selain dari itu, program CPSA juga baru-baru ini diluluskan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di bawah pelan Program Pembiayaan Pensijilan Profesional. Menerusi pelan ini, tajaan akan diberikan kepada calon-calon Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai program CPSA.

Justeru, kerjasama diantara USIM dan IBFIM terutamanya dalam penawaran program CPSA dilihat bukan sahaja berjaya melahirkan tenaga kerja mahir berkaitan audit Shariah terutamanya dalam bidang kewangan Islam, bahkan ianya turut menjana pendapatan kepada USIM secara tidak langsung. Diharapkan agar kerjasama ini akan terus berkekalan dalam menyumbang terutamanya kepada industri kewangan Islam di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

Disediakan oleh:

Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia