FEM Menjadi Perintis Penganjur Seminar Antarabangsa (iECONS2015) di Luar Negara.

KRABI, 30 SEPTEMBER 2015 - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ingin menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat Islam di Krabi, Thailand selari dengan fokus Pelan Strategik USIM 2013-2025 untuk menjadi Universiti rujukan dalam bidang integrasi ilmu Naqli dan Aqli pada 2016 diperingkat serantau.

Komitmen ini diberikan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato' Dr. Musa Ahmad  bersama Pengurusan Universiti dalam pertemuan bersama Timbalan Gabenor Wilayah Krabi, Tuan Narong Woonsiew dan Presiden Komuniti Islam Krabi, Tuan Hj. Asnawee Mukura di Krabi Front Bay Resort, Thailand pada hari ini.

"Krabi yang mempunyai seramai 500,000 penduduk dengan separuh darinya beragama Islam membuka peluang kerjasama yang luas untuk USIM bersama masyarakat di sini. Universiti melalui program khas khidmat komuniti antarabangsa yang kita namakan sebagai Global Islamic Student Outreach (GISO) telah beberapa kali mengadakan program di sini".

"Respon peserta dan masyarakat amat baik dengan nama USIM semakin mendapat perhatian di sini. Justeru pada pertengahan Disember nanti, kita bersetuju untuk menghantar delegasi terbesar USIM untuk mengadakan khidmat komuniti dalam aspek kesihatan, promosi pendidikan dan sosio-ekonomi. Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang menyertainya nanti juga akan tinggal bersama keluarga angkat di sini sepanjang program" .

"Selain khidmat komuniti, Pengurusan Universiti juga mencadangkan program bertaraf antarabangsaan anjuran fakulti dan jabatan di USIM seperti seminar, konvensyen dan forum memilih Krabi sebagai lokasi pilihan. Kita juga akan meneroka kerjasama akademik yang dapat dilaksanakan bersama institusi pendidikan tinggi seperti madrasah yang terdapat di sini" ujarnya.

 

Timbalan Gabenor dalam reaksinya mengucapkan terima kasih atas perhatian dan keprihatinan USIM kepada komuniti Islam di sini. Menurutnya, saban tahun peningkatan pelancong khususnya dari negara Islam serantau dan Timut Tengah ke Krabi meningkat mendadak. Salah satu faktornya kerana ia merupakan destinasi pelancongan yang mesra muslim kerana terdapat kira-kira 160 premis hotel dan restoren yang menyediakan menu halal selain kemudahan masjid dan surau yang mudah diakses.

Sesi pertemuan dua hala ini diatur sempena penganjuran Seminar Sistem Ekonomi Islam(iECONS) kali keenam 2015 anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM. Dianjurkan pada 29 ingga 30 September, ia bertujuan mempromosikan perbincangan dan kerjasama dikalangan sarjana dan pemain industri dalam isu-isu berkaitan ekonomi Islam. Seramai 130 peserta dari Jordan, Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Brunei, Malaysia dan Thailand.

Sempena iECONS ini, dua memorandum persefahman (MoU) turut ditandatangan USIM dengan institusi di Thailand iatu Universiti Fatoni dan Thaqafah Saving Co-operative. Turut dilancarkan dua buah buku terbitan USIM Press iaitu Zakat's Role in Enhancing The Economy of The Ummah : Challenges and Future Prospects dan Managing Philanthrophy for Social Security & Economic Empowerment.

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.