SESI PERKONGSIAN INDUSTRI: PERSPEKTIF PENGURUS MENGENAI PERANAN, PELUANG DAN CABARAN DALAM DUNIA PERNIAGAAN SEBENAR

NILAI, 19 MAC 2015 – Sesi Perkongsian Industri: Perspektif Pengurus Mengenai Peranan, Peluang Dan Cabaran Dalam Dunia Perniagaan Sebenar ini telah dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), USIM dengan menjemput pembicara yang berpengalaman luas dalam industri kewangan iaitu Y. Brs. Encik Zameen Zahari, Pengarah Eksekutif Compliance, JP Morgan Singapura. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang peluang, peranan dan cabaran dalam dunia perniagaan sebenar serta pemangkin motivasi pelajar untuk kekal cemerlang  berdasarkan perkongsian pengalaman beliau dalam karier industri kewangan antarabangsa. Program ini dan berlangsung pada 2-4 petang,  bertempat di Dewan Kuliah Fakulti, DKF 1.1.

 Program ini telah dihadiri oleh sejumlah 100 staf akademik dan pelajar Fakulti dibawah seliaan Dr. Fuadah Johari sebagai memenuhi sebahagian dari keperluan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Sesi program ini dikendalikan oleh pengerusi majlis iaitu saudara Muhammad Azri Shaharuddin dan dibuka dengan bacaan Al-Quran dan doa oleh Muhammad Aminur Rasyid Zamberi. Majlis dimulai dengan Kata-kata Aluan oleh Dr. Nursilah Ahmad, mantan Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi) dengan menerangkan serba ringkas latarbelakang Fakulti dan pelajarnya dan diserikan dengan beberapa rangkap pantun. Kemudian, pengerusi majlis menjemput Y. Brs. En. Zameen Zahari bagi memulakan ucapan beliau. Pelbagai ilmu, nasihat dan pendedahan yang dicurahkan oleh beliau tentang selok belok industri kewangan dan menggunakan peluang dengan baik dan tabah dalam menempuh cabaran dalam dunia perniagaan dan industri kewangan sebenar. Kata beliau dalam ucapannya, “Usahlah takut untuk mengangkat tangan apabila diberi peluang dan yakinlah pada kebolehan diri serta janganlah mudah putus asa dalam segala dugaan kerana seorang pengurus yang berjaya adalah berani mengambil risiko. Dan berdirilah atas bakat sendiri.”

 

Selain itu, beliau berkongsi beberapa pengalaman beliau yang dahulunya beliau mengambil jurusan perundangan dan disebabkan minat yang mendalam, beliau dengan tekadnya bertukar jurusan kepada jurusan kewangan. Atas keunikan tersebut beliau akhirnya berjaya dalam bidang kewangan yang mengkhusus kepada bidang ‘compliance’ di industri kewangan.  Ucapan ikhlas beliau memberi inspirasi dan azam baru bagi para pelajar. Para pelajar juga berpeluang untuk bertanyakan beberapa soalan kepada beliau diikuti sesi penyampaian cenderamata daripada pihak penganjur kepada Y. Brs. En. Zameen Zahari sebagai tanda penghargaan kerana sudi berkongsi pengalaman, ilmu, dan sifat rendah dirinya yang berharga untuk diteladani.

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.