KUALA LUMPUR, 6 Disember 2019 – Seramai 36 peserta yang terdiri daripada 19 pelajar tahun akhir USIM dan 17 daripada Association of Malay Chartered Accountants Firms Malaysia (AMCAF) telah berjaya menamatkan program Certified Professional Shariah Auditor (CPSA) dan diraikan sebagai graduan sulung dalam satu majlis graduasi yang diadakan di Lanai Kijang, Kuala Lumpur. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Wira Ir Aminuddin Hamzah.

 

Program CPSA ini merupakan sebuah program profesional dalam bidang audit shariah yang ulung kali ditawarkan dengan kerjasama antara akademik dan industri iaitu antara USIM dengan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM). Program ini menyaksikan kepakaran kedua pihak ini digabungkan bagi memastikan program ini relevan dan memenuhi keperluan semasa industri.

 

Memetik ucapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Wira Ir Aminuddin Hamzah berkata bahawa industri kewangan Islam kini masih lagi memerlukan tenaga kerja seramai kira-kira 56,000 bagi memenuhi sasaran 200,000 tenaga kerja menjelang 2020. Justeru, penawaran program seperti CPSA ini dilihat merancakkan lagi industri kewangan Islam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir di pasaran.

 

Manakala, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni USIM, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dan berbesar hati terhadap pelaksanaan program CPSA ini yang turut disertai oleh pelajar tahun akhir USIM. Seramai 47 pelajar tahun akhir USIM yang terpilih menerusi program kebolehpasaran graduan (graduate employability@GE) 2.0 2019 telah menerima tajaan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyertai program CPSA ini dan 19 darinya telah berjaya melepasi kesemua 6 modul yang ditawarkan.

 

“Penglibatan pelajar tahun akhir USIM di dalam program profesional seperti CPSA ini bukan sahaja merupakan satu nilai tambah kepada bakal graduan USIM bahkan ianya juga dapat membantu menyiapkan para pelajar dengan kemahiran profesional bagi mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang.”

 

Tambahan pula, Prof Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, program CPSA ini merupakan platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran hala tuju USIM dan IBFIM selaku institusi pendidikan dan latihan yang berteraskan Islam di negara ini. Di peringkat USIM, program ini telah lama bermula sejak tahun 2009 lagi apabila kemudiannya Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) telah memperkenalkan subjek “Al-Tadqiq Al-Shar’ie (audit shariah)” bermula tahun 2010 bagi program-program pra-siswazah di bawah FEM.

 

“Di bawah Kluster Accounting, Auditing and Governance in Islamic Institutions (AAGII), FEM, kita telah melaksanakan perkongsian kepakaran mengenai bidang audit shariah bersama industri di bawah geran penyelidikan Kementerian Pendidikan Malaysia ‘Knowledge Transfer Programme’ (KTP) bermula tahun 2014. Hasil daripada kajian KTP ini, maka terlahirlah sebuah program latihan perintis yang diberi nama Shariah Audit Training (SAT). Program SAT ini telah berjaya dilaksanakan bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) pada 2015 dan Malaysia Building Society Berhad atau dikenali sebagai MBSB Bank pada 2017.”

 

“Kemudian, pihak kluster AAGII dengan kerjasama IBFIM telah mengemaskini program SAT ini dengan menaiktaraf ia menjadi satu program profesional yang diberi nama ‘Certified Professional Shariah Auditor (CPSA)’ di bawah penyeliaan ‘Subject Matter Expert Shariah Audit’ yang telah dilantik oleh IBFIM, iaitu Prof Madya Dr Zurina Shafii. Ini berdasarkan kepakaran dan penglibatan beliau di dalam industri selaku ahli jawatankuasa shariah di beberapa institutsi kewangan Islam selama ini. Program CPSA ini terbuka kepada masyarakat umum terutamanya pemain industri kewangan Islam di Malaysia.”

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Encik Mohd Yusri Yusoff mendedahkan bahawa USIM dengan kerjasama IBFIM merancang untuk melahirkan kira-kira 200 graduan CPSA setiap tahun bagi memenuhi keperluan industri dalam bidang audit shariah. Beliau percaya kesemua 6 modul yang ditawarkan dalam program CPSA ini adalah penting dan mampu meningkatkan skil dan pengetahuan terutamanya dalam bidang audit shariah.

 

“Modul-modul yang dirangka dalam program CPSA ini yang terdiri daripada Fundamentals of Shariah for Islamic Finance, Fundamentals of Governance and Auditing, Accounting & Reporting for Islamic Financial Transactions, Shariah Risk Management & Internal Control, Shariah Audit Planning & Programme dan Shariah Audit Fieldwork & Communications diyakini mampu melatih dan mengukuhkan kemahiran peserta program CPSA khususnya di dalam bidang audit shariah. Justeru, para graduan CPSA dapat melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran audit shariah, selari dengan keperluan semasa industri kewangan Islam.”

 

Selain YB Timbalan Menteri Kewangan, majlis graduasi ini turut dihadiri oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Aznan Abdul Aziz dan juga Pengerusi IBFIM, Datuk Mohamed Rafique Merican.