NILAI, 18 Oktober 2021 – Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu mendepani Covid-19 pada era teknologi di peringkat global, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan langkah merealisasikan Islamic Social Finance 360 Webinar Series Siri 1 dengan tema Syarahan Ilmuan Mendepani Covid-19 yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom.

Program ini merupakan kerjasama di antara Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Institut Kewangan dan Pengurusan Harta Islam (IFWMI) USIM dan Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan Kewangan dan Pengurusan Harta Islam (IFWMEC). IFWMEC diketuai oleh IFWMI USIM sebagai ketua induk dan dianggotai oleh dua rakan satelit iaitu satelit pertama adalah International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) dan dan satelit kedua adalah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta rakan industri Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Antara objektif program adalah untuk membincangkan isu-isu semasa pasca Covid-19 dalam pelbagai aspek khususnya dalam bidang Kewangan Sosial Islam, Teknologi Kewangan Islam dan Keusahawanan melalui perkongsian penyelidikan terkini serta perkongsian idea dan pengalaman bersama tokoh akademik dan industri. Dalam masa yang sama penganjuran seperti ini diharap dapat menghidupkan dan menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan warga fakulti dan industri bersama komuniti masyarakat setempat dan golongan sasaran.

Selain itu, program ini diadakan untuk menggalakkan penghasilan output melalui aktiviti pemindahan ilmu dari penyelidikan terkini dan figura tersohor dalam bidang Syariah dan Kewangan Islam bagi meringankan kesan kesengsaraan akibat covid-19.

Pelaksanaan program ini melibatkan tiga (3) syarahan ilmuan. Syarahan ilmuan pertama memaparkan hasil penyelidikan “Memperkenalkan konsep penerima-pewakaf (Benefidonor) dalam mendepani Covid-19” yang akan disampaikan oleh Prof Fauzias Mat Nor Ketua Penyelidik Konsortium Kumpulan Penyelidikan Kewangan Islam dan Pengurusan Harta Islam (IFWMEC). Syarahan kedua adalah syarahan ilmuan inspirasi bertajuk “Era Teknologi Kewangan Islam (Islamic Fintech) dan Covid-19 : Inspirasi masa hadapan” dan syarahan ketiga adalah Syarahan Motivasi kepada kumpulan B40 dan Asnaf mengenai “Kelangsungan perniagaan kesan dari Pandemik Covid-19”. Syarahan Kedua dan ketiga disampaikan oleh YBhg. Datuk dr Mohd Daud Bakar, Penyandang Kursi Akademik ke-4 USIM – Yayasan Tun Ismail Ali berdaftar yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie.

12 siri telah dirancangkan untuk diadakan pada setiap bulan di antaranya akan melibatkan kolaborasi bersama rakan akademik dalam negara seperti , INCEIF, UMK, YWM, INTI, MMU, Khadijah International Waqf Foundation (Labuan) KIWF(L), dan Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), serta institusi pengajian Tinggi luar negara seperti Universitas Darussaalam, Gontor (UNIDA), Universitas Islam Maulana Malik, Malang Indonesia, Universitas Padgajajran Bandung, Indonesia, Badan Wakaf Indonesia dan lain-lain lagi.

Turut diadakan pelancaran dua buah buku kajian kes covid-19 dari dimensi ekonomi, kewangan dan pengurusan organisasi. Pertama, bertajuk Insight into Covid-19 Crisis : Economic & Finance Case Study dan buku kedua bertajuk Responding to the Covid-19 Pandemic : case studies on Managing.

“Kita mengharapkan program seperti ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih terbuka dengan hasil penyelidikan terkini, cakna dengan inspirasi teknologi kewangan Islam (Islamic Fintech) termaju dan bangkit lebih bermotivasi untuk mendepani cabaran covid-19. Sasaran peserta tidak terhad kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar malah platform webinar ini juga membawa golongan usahawan B40 yang terjejas akibat pandemik covid-19 untuk lebih maju kehadapan dengan mengambil iktibar, perkongsian tips dan pengalaman sebenar kejayaan tokoh usahawan Syariah global”.  Ujar Prof Madya Dr Zurina Kefli, Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM.

“Program ISF 360 Series ini adalah satu program yang dirangka untuk mewujudkan wacana perbincangan sekitar isu kewangan sosial yang telah dikenalpasti sebagai instrumen penting sebagai menyeimbangkan ekologi ekonomi untuk menjaga kebajikan masyarakat. Ekonomi bertunjang untung (proft driven economy) mempunyai peranan untuk menggalakkan penyertaan dan penambahkan tahap efisiensi ekonomi, yang perlu diseimbangkan dengan kegiatan ekonomi yang memfokuskan impak sosial. Aktiviti muamalat seperti zakat, wakaf, aktiviti ekonomi sosial yang lain adalah instrumen yang digunapakai dalam masyarakat yang memberi impak pengawalan harga dan kelestarian ekonomi ummah”. Ujarnya lagi.

Diharapkan masyarakat Malaysia boleh turut bersama sebagai pengguna manfaat wakaf, pewakaf dan berkongsi maklumat wakaf secara lebih aktif dalam merealisasi inovasi sosial bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19. Teknologi kewangan Islam adalah kunci khazanah data yang berimpak yang berupaya mencantas sistem tradisional yang kurang berkesan dan efektif. Penggunaan teknologi kewangan Islam harus dirancakkan bagi mengupayakan masyarakat yang lebih berdaya maju dan kalis krisis. Golongan usahawan B40 dan asnaf tidak harus ditinggalkan dan dibiarkan pasca covid-19. Sokongan dan perkongsian pengalaman sebenar serta tips dari perspektif Syariah menambah nilai dan semangat usahawan B40 dan asnaf menghadapi krisis dan mampu bangkit semula menghadapi pasca krisis covid-19.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan