Nilai, 2 Julai 2025 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia sekali lagi meneruskan tradisi kecemerlangan akademik dengan penganjuran International Marketing Conference (IMC) 2025, yang kini memasuki siri ke-5. Program tahunan ini dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar Tahun 3 Program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran dengan Pengurusan Perniagaan Islam (SmPPK) sebagai sebahagian daripada penilaian kursus MCA4023: Penyelidikan Pemasaran I.

Persidangan kali ini berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom pada 2 Julai 2025 (Rabu) dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, dengan mengetengahkan tema utama ‘Data-Driven Marketing’. Tema ini dipilih selari dengan perkembangan semasa dunia pemasaran yang semakin dipacu oleh teknologi dan analitik data.

Sebanyak 44 orang pelajar FEM telah membentangkan cadangan penyelidikan mereka secara langsung kepada panel penilai yang terdiri daripada pensyarah fakulti. Persidangan ini turut mendapat sambutan antarabangsa dengan penyertaan pelajar daripada beberapa universiti luar negara, termasuk Universitas Islam Indonesia (UII), Universitas Airlangga (UA), Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan STI Malangkuće, Indonesia.

Sebagai galakan kepada kecemerlangan, tiga pembentangan terbaik telah dipilih oleh panel penilai dan masing-masing menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.

Penganjuran IMC 2025 membuktikan keupayaan pelajar FEM dalam menganjurkan program berskala antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan kemahiran penyelidikan dan komunikasi dalam kalangan pelajar.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan urus setia atas penganjuran yang berjaya dan berimpak tinggi.