KAZAN, RUSIA – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluas sumbangan kepakarannya dalam pembangunan kewangan Islam di Rusia menerusi pelaksanaan program akademik, latihan profesional, konsultasi industri dan perbincangan kerjasama strategik bersama Kazan Federal University (KFU) dari 29 Jun hingga 7 Julai 2026.
Delegasi FEM diketuai oleh Prof. Dr. Zurina Shafii dan disertai Prof. Madya Dr. Syahnaz Sulaiman, Prof. Madya Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, Dr. Junaidah Abu Seman serta Dr. Supiah Salleh. Sepanjang berada di Kazan, delegasi mengadakan kunjungan ke AAOIFI Centre for Islamic Finance Development bagi meninjau perkembangan semasa industri kewangan Islam di Rusia, khususnya dari aspek dasar, kawal selia dan pelaksanaan oleh institusi berkaitan. Pertemuan itu memberikan gambaran mengenai program rintis kewangan Islam yang diperkenalkan oleh Kerajaan Rusia sejak 2023 dengan penglibatan kira-kira 37 institusi yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan Islam, termasuk pembiayaan jangka pendek, Murabahah, pelaburan ekuiti serta pajakan (Ijarah). Program rintis tersebut dilaksanakan di empat wilayah majoriti Islam, iaitu Republik Tatarstan, Bashkortostan, Dagestan dan Chechnya. AAOIFI Centre for Islamic Finance Development di Kazan juga merupakan satu-satunya pusat AAOIFI yang ditubuhkan di luar Bahrain, lokasi ibu pejabat organisasi berkenaan.
Delegasi FEM turut menyertai persidangan kewangan Islam pada 30 Jun 2026 yang menghimpunkan lebih 50 delegasi dari pelbagai negara, khususnya Asia Tengah. Dalam persidangan itu, Prof. Dr. Zurina dan Dr. Junaidah membentangkan kepentingan pembangunan modal insan bagi menyokong perkembangan industri kewangan Islam di Rusia. Perkongsian kepakaran diteruskan menerusi sesi latihan Muamalat Interactive Game (MIG) bersama pensyarah kewangan Islam dari seluruh Rusia pada 1 Julai 2026. Latihan yang diketuai oleh Dr. Supiah dengan kerjasama ahli delegasi FEM memberikan pendedahan secara interaktif mengenai prinsip dan kontrak Syariah seperti Mudarabah, Murabahah, Musyarakah dan Ijarah. Pendekatan ini membantu peserta memahami asas kewangan Islam secara praktikal untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk dalam kalangan pensyarah bukan Islam yang menunjukkan minat mendalami prinsip dan pelaksanaan kewangan Islam secara rasional dan sistematik.
Pada 2 Julai 2026, delegasi FEM mengadakan perbincangan bersama beberapa pemain industri kewangan Islam di Kazan, termasuk Amal Financial House yang menawarkan produk pembiayaan Islam dan Zolotoy Sunduk yang menyediakan perkhidmatan ar-rahnu. Perbincangan tersebut membolehkan FEM memperoleh input mengenai perkembangan semasa industri daripada perspektif pemain industri, di samping berkongsi kepakaran berkaitan pengukuhan tadbir urus, proses kerja dan pematuhan Syariah. Usaha memperluas pemahaman mengenai kewangan Islam diteruskan menerusi penganjuran masterclass Takaful di KFU pada 3 Julai 2026 bersama pensyarah kewangan Islam dari seluruh Rusia. Sesi yang dikendalikan oleh Dr. Junaidah, Prof. Madya Dr. Syahnaz dan Dr. Supiah memperkenalkan konsep, kepentingan serta pengoperasian Takaful bagi melengkapkan ekosistem kewangan Islam. Pendedahan tersebut penting memandangkan Rusia masih belum menawarkan produk dan perkhidmatan Takaful walaupun permintaannya semakin meningkat.
Dalam perkembangan berkaitan, FEM dan KFU turut mengadakan perbincangan serta audit lokasi bagi merancang penawaran program Ijazah Sarjana Kewangan Islam secara dwiijazah (dual degree). Sekiranya direalisasikan, program ini bakal menjadi program dwiijazah pertama USIM yang dijalankan bersama institusi luar negara, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengikuti pengajian di kedua-dua universiti dan menerima ijazah daripada USIM serta KFU.
Menurut Prof. Madya Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, penglibatan FEM dalam siri program berkenaan bukan sahaja membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang kewangan Islam, malah memperluas potensi kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan program bersama KFU. Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang kunjungan tersebut dijangka dapat menyokong perkembangan sektor kewangan Islam di Rusia, di samping memperkukuh peranan FEM sebagai penyumbang kepakaran akademik, penyelidikan dan profesional di peringkat antarabangsa.
Siri program itu turut merangkumi perbincangan penyelidikan pada 4 Julai 2026 yang memfokuskan potensi kerjasama antara FEM dan KFU dalam memperkasakan kewangan Islam di Rusia, termasuk penambahbaikan prosedur serta pengukuhan fungsi pengesahan pematuhan Syariah terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Kedua-dua institusi turut merancang pelaksanaan projek penyelidikan melalui geran padanan pada tahun 2027 sebagai kesinambungan kepada kerjasama akademik yang telah dibangunkan. Pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang kunjungan tersebut bukan sahaja menyokong perkembangan sektor kewangan Islam di Rusia, malah memperkukuh jaringan antarabangsa USIM serta peranan FEM sebagai pusat rujukan kepakaran dalam bidang kewangan Islam.