Nilai, 18 Jun 2025 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini melakar satu lagi detik bersejarah apabila menganjurkan Sambutan 25 Tahun USIM yang turut diserikan dengan Pelancaran Blueprint Islamic Finance. Majlis gilang-gemilang ini telah berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM dan dihadiri oleh warga universiti, tokoh-tokoh akademik, serta para jemputan dari sektor kewangan dan industri berkaitan.

Sambutan ulang tahun ke-25 ini menjadi medan muhasabah serta penghargaan terhadap pencapaian USIM dalam tempoh suku abad, selain memperkukuh visi universiti sebagai institusi unggul dalam integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Pelancaran Blueprint Islamic Finance pula mencerminkan komitmen USIM dalam merangka halatuju strategik pembangunan kewangan Islam yang lebih holistik dan mampan.

Dokumen blueprint tersebut menggariskan pelan tindakan yang komprehensif dalam memperkukuh penyelidikan, pembangunan kurikulum, serta kerjasama strategik bersama industri kewangan Islam, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.

Majlis ini sekali gus memperkukuh peranan USIM dalam menerajui agenda pembangunan ilmu dan profesionalisme dalam ekosistem kewangan Islam yang berteraskan nilai-nilai syariah.