Bersesuaian dengan hasrat fakulti bagi memperkasakan agenda penyelidikan dan inovasi di kalangan ahli fakulti, sebuah program santai bersifat perkongsian telah dijalankan di FEM menerusi “Research and Innovation Sharing Session (RISS)”. Program yang ditindikkan di bawah Timbalan Dekan Inovasi dan Penyelidikan ini merupakan satu daripada program tahunan anjuran fakulti yang bertujuan untuk mewujudkan platform bagi ahli fakulti berkongsi ilmu dan pengalaman tentang perkara-perkara yang relevan dengan aktiviti penyelidikan dan inovasi. Perkongsian juga boleh dalam bentuk isu atau kajian yang sedang mereka lakukan atau yang sedang “in-trend” pada masa kini dalam pelbagai bidang ekonomi dan muamalat
Sebagai pembuka sesi RISS 2025, siri pertama program telah dilaksanakan pada 23 April 2025 dengan menjemput Dr. Mohammad Noorizzuddin Nooh untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau tentang penggunaan Artificial Intelligence (AI) dalam landskap penyelidikan. Fakulti sangat beruntung kerana penceramah merupakan ahli fakulti yang selalu menjadi rujukan baik dari dalam USIM mahupun pihak luar berkaitan teknologi AI dalam penyelidikan mahupun pengajaran. Melalui peluang ini, beliau bercerita bukan sahaja tentang kuasa transformatif AI ini, tetapi juga tentang tanggungjawab dan peluang yang datang bersamanya. Apa yang lebih penting dari perkongsian beliau, kita dapat melihat bahawa AI tidak pernah menggantikan penyelidik; sebaliknya ia meningkatkan kualiti penyelidikan dan membolehkan kita menggali lebih dalam dan bergerak lebih pantas ke arah perkara yang mungkin sebelum ini di luar jangkauan atau kefahaman kita.
Siri kedua RISS 2025 menyusul pada 18 Jun 2025 dengan perkongsian oleh Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin bertajuk “Good Governance Based on National Anti-Corruption Strategy (NACS) 2024-2028”. Suasana penuh semangat terhasil kerana sesi ini menjadi platform perkongsian yang hidup – di mana penyelidik menceritakan kisah di sebalik kejayaan penyelidikan, cabaran sebenar di lapangan, serta penemuan yang membuka ruang untuk solusi baharu berkait aktiviti rasuah di Malaysia. Cadangan dan pandangan yang diberikan oleh para peserta program jelas membuktikan bahawa tajuk yang dibentang ini dilihat sangat dekat di hati para peserta yang sentiasa peka dengan pelbagai kes rasuah negara dan pengharapan terhadap strategi-strategi pembanterasan rasuah oleh pelbagai pihak berkaitan di Malaysia.
Secara keseluruhan, akan ada lima sesi RISS bagi tahun 2025. Tiga lagi sesi RISS dijadualkan untuk dibuat pada bulan September dan Disember akan datang. Diharapkan program ini dapat memenuhi objektif yang dicadangkan. Semoga ia menjadi pemangkin kepada idea-idea penyelidikan dan inovasi baru yang lebih pesat. Semoga perkongsian penceramah juga memberikan semangat kepada ahli fakulti lainnya untuk menceburi bidang baru dan pelbagai, berkolaborasi dan memperluas horizon penyelidikan bagi memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.