BANGI, 21 Mac 2022 – Kluster Accounting, Shariah Audit and Governance (ASAG), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) buat julung kalinya telah menganjurkan satu majlis minum petang (hi-tea) sempena penyampaian perkongsian keuntungan yuran peperiksaan program certified professional shariah auditor (CPSA) bagi tahun 2020. Majlis ini telah diadakan pada hari Isnin bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang yang bertempat di De.Wan 1958 by Chef Wan @ Bangi, Bangi Golf Resort.  

Seramai kira-kira 30 tetamu jemputan telah menghadiri program kali ini termasuklah ahli lembaga pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jawatankuasa pengurusan tertinggi USIM yang diketuai oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, pengurusan FEM yang diketuai oleh Dekan FEM, Prof. Madya Dr. Zurina Kefeli @ Zulkefli serta delegasi dari Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Yusry Yusoff. Tujuan majlis ini diadakan adalah sebagai meraikan penerimaan bayaran pengagihan keuntungan bagi program CPSA bagi tahun 2020 daripada pihak IBFIM kepada pihak USIM. 

Untuk makluman, program CPSA merupakan sebuah program profesional dalam bidang audit shariah yang ulung kali ditawarkan dengan kerjasama antara akademik dan industri iaitu antara USIM dengan IBFIM. Program ini menyaksikan kepakaran kedua pihak USIM dan IBFIM digabungkan bagi memastikan program ini relevan dan memenuhi keperluan semasa industri.  

Memetik ucapan Ketua Pasukan CPSA USIM, Prof. Dr. Zurina Shafii berkata bahawa sehingga kini seramai 128 pemegang sijil CPSA telah berjaya dilahirkan sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2019. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan kira-kira 570 peserta meliputi 373 peserta daripada pelajar tahun akhir universiti awam Malaysia, 169 peserta daripada 18 institusi perbankan Islam dan bakinya daripada organiasi berkaitan seperti firma pengauditan dan juga peserta luar negara. Justeru, penawaran program CPSA ini dilihat merancakkan lagi industri kewangan Islam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir di pasaran pada masa hadapan. 

Selain itu, program CPSA juga dilihat berpotensi untuk dikembangkan lagi penawarannya dengan tidak hanya bertumpu kepada pemain industri kewangan Islam semata-mata. Dalam hal ini, sektor lain berkaitan seperti pasaran kewangan Islam (Islamic capital market), takaful, koperasi Islam (ar-rahnu) serta sektor berasaskan syariah yang lain seperti institusi zakat dan wakaf turut berpotensi untuk diterokai. Program CPSA juga berpotensi untuk ditawarkan di peringkat antarabangsa bermula daripada rantau Asia Tenggara sehingga ke peringkat global. 

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Encik Yusry Yusoff dalam ucapannya memaklumkan bahawa dalam tempoh dua tahun program CPSA diperkenalkan, program CPSA telah berjaya menerima akreditasi penuh dari Finance Accreditation Agency (FAA), sebuah agensi akreditasi kewangan antarabangsa di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) serta memperolehi kelulusan dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk hakcipta serta tanda dagangan. 

Tambahan pula, program CPSA juga telah diiktiraf oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) di mana modul-modul CPSA diberikan pengecualian bagi pensijilan ASAS. Selain dari itu, program CPSA juga baru-baru ini diluluskan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di bawah pelan Program Pembiayaan Pensijilan Profesional. Menerusi pelan ini, tajaan akan diberikan kepada calon-calon Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai program CPSA. 

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin pula berkata, program CPSA ini merupakan platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran hala tuju USIM dan IBFIM selaku institusi pendidikan dan latihan yang berteraskan Islam di negara ini. Selain daripada perolehan keuntungan dengan penganjuran bersama program CPSA ini, pengenalan program CPSA sendiri yang merupakan integrasi ilmu aqli dan naqli di antara ilmu muamalat dan syariah boleh dijadikan sebagai salah satu ilmu yang bermanfaat yang akan menjadi bekalan selepas meninggalkan dunia selain amal jariah dan doa anak yang soleh. 

Beliau juga turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan CPSA USIM khususnya di atas kejayaan mendapatkan geran kebolehpasaran graduan bagi penganjuran program CPSA kepada pelajar tahun akhir universiti awam Malaysia. Sejak tahun 2019 sehingga terkini pada tahun 2022, sejumlah RM1.04 juta nilai geran telah diperolehi untuk melatih seramai kira-kira 430 pelajar tahun akhir dan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan USIM yang mencapai kira-kira 94.5% bagi tahun 2021 baru-baru ini. 

Pada majlis ini, perkongsian keuntungan yuran peperiksaan program CPSA bagi tahun 2020 telah dibuat melibatkan sejumlah RM178,127.26 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Encik Yusry Yusoff kepada Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. Perkongsian ini adalah berdasarkan Memorandum Perjanjian USIM dan IBFIM berkaitan usahasama penganjuran program CPSA di mana keuntungan bersih yuran peperiksaan CPSA akan dikongsi oleh kedua-dua institusi pada kadar 50:50, setelah mengambil kira kos pengendalian peperiksaan yang ditanggung oleh IBFIM. 

 

MUHAMMAD IQMAL HISHAM KAMARUDDIN

Pensyarah Kanan

Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)