Persidangan Antarabangsa Sistem Ekonomi Islam kali ke-8 2019 (I-iECONS) kali ini membawakna tema Sustainable Social and Economic Islamic Well-Being merupakan satu seminar penjenamaan atau ‘branding’ Fakulti Ekonomi dan Muamalat(FEM)  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

Sebanyak 100 kertas kerja dibentangkan di persidangan ini oleh ahli akademik dalam dan luar negara untuk menyebarkan hasil penyelidikan mereka. Selain itu, dua (2) kertas kerja utama yang dibentangkan oleh pakar dan tokoh-tokoh dalam bidang ekonomi dan kewangan.

 

“Memandangkan saiz ekosistem Islam secara global mempengaruhi kedudukan industri kewangan Islam, kita perlu memastikan momentum pertumbuhan yang dinamik terus bertahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Islam global dengan lebih luas. Justeru, persidangan ini dilihat sebagai satu mekanisme di mana pakar dan sarjana boleh duduk bersama untuk berkongsi idea dan membincangkan pelbagai topik dan isu yang berkaitan,” ucap Prof Dato Dr Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM.

 

Tambahnya lagi, I-iECONS 2019 adalah platform yang penting bagi menghimpunkan perbincangan serta kerjasama diantara para penyelidik dan pengamal industri bagi memulakanprojek atau kerjasama sama ada yang berbentuk domestik atau antarabangsa. Perkongsian idea, pengalaman dan kepakaran pasti akan memberikan manfaat yang luar biasa kepada semua yang hadir dan diharapkan program yang mampu menghimpunkan para peserta dari dekat dan jauh ini akan diteruskan pada masa hadapan.

 

Antara objektif persidangan ini ialah untuk meyediakan platform bagi para akademik dan penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan ekonomi, muamalat, perbankan, kewangan, dan perakaunan dan menganalisa dengan lebih mendalam isu-isu semasa dan cabaran sosio-ekonomi disamping mengenalpasti kaedah dan strategi yang mampu mengwujudkan kelestarian sistem ekonomi, muamalat, perbankan, kewangan, dan perakaunan di Malaysia.

 

Selain itu, persidangan ini turut bertujuan untuk menggembleng seluruh sumber dan tenaga kepakaran dari dunia akademik dan praktis untuk mewujudkan kerjasama yang kukuh dalam menyebarkan maklumat mengenai potensi ekonomi, muamalat, perbankan, kewangan, dan perakaunan secara menyeluruh sebagai pemangkin pembudayaaan keseluruhan sistem yang lebih dinamik.

 

Pihak penganjur berusaha untuk menjayakan persidangan ini melalui pelaksanaan beberapa sesi selari yang memberi peluang kepada pembentang-pembentang kertas kerja membentangkan hasil kerja mereka bagi mendapatkan maklum balas dan berkongsi idea dengan para peserta lain untuk meningkatkan kualiti kertas kerja mereka melalui sesi selari tersebut.

 

Penganjuran kali ini adalah amat penting untuk memastikan kelangsungan program demi meningkatkan lagi kesedaran orang awam, ahli akademik dan juga ahli industri mengenai situasi ekonomi semasa. Selain itu, ianya menjadi wadah untuk menjadikan FEM sebuah institusi yang menjadi peneraju dalam pembangunan ilmu khususnya di dalam bidang ekonomi, muamalat, perbankan, kewangan, dan perakaunan.

 

Pihak penganjur turut menyediakan gerai pameran bagi produk-produk pensyarah USIM seperti Muamalat Interatif Game (MIG) dan Halal2U yang diilhamkan oleh Pensyarah-pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat diketuai oleh Dr. Shahidawati Mohd Shahwan serta Zakat Game hasil inovasi pensyarah-pensyarah dari Fakulti Shariah dan Undang-Undang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azman Abdul Rahman.

 

Persidangan I-iECONS setiap dua (2) tahun sekali mendapat tajaan daripada beberapa pihak industri antaranya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seperti seminar-seminar yang lain yang pernah dianjurkan seperti Islamic Banking, Accounting and Finance Conference (iBAF) dan International Halal Management Conference (IHMC).