INFO FEM

  • Bagi mencapai matlamat yang direncanakan serta untuk meluaskan skop pengajiannya, USIM telah menubuhkan Fakulti Ekonomi dan Muamalat pada tahun 2001 dan mula mengambil kumpulan pelajar sulungnya bagi satu program baru iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian pada bulan Mei 2002. Adalah diharapkan, Fakulti ini menjadi satu lagi wadah untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan, mahir dan profesional dalam bidang pentadbiran muamalat. Di samping itu, Fakulti ini juga diharapkan akan dapat mengembangkan lagi syiar Islam dengan membuka ruang kepada para penyelidik dan pendidik untuk mengkaji, menyelidik dan menyebarkan pengetahuan berkaitan dengan ekonomi Islam dan muamalat. Bidang pentadbiran Muamalat merupakan salah satu bidang yang dituntut dalam agama Islam sejak zaman Rasulullah lagi.
  • Di samping memberi panduan kepada umat Islam tentang perhubungan mereka sesama manusia, bidang muamalat juga berperanan untuk menyusun dan mengatur struktur serta perjalanan pentadbiran dan pengurusan manusia. Kemajuan sesebuah masyarakat itu akan diukur bukan sahaja kepada tahap keimanannya tetapi juga terhadap usahanya di dunia. Masyarakat Islam moden dan progresif hari ini, tidak boleh mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dari segi tauhid dan syariah sahaja tanpa mempunyai ilmu muamalat, demi untuk kesejahteraannya di dunia dan juga di akhirat.
  • Firman Allah: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagian di akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagian kamu di dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Quran, al-Qasas 28:77).

Mendokong hasrat untuk memertabatkan ilmu dan melahirkan insan yang berteraskan pendidikan Islam yang kukuh serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan dunia sejagat.

Bertekad untuk menjadi Fakulti yang terpilih dan dirujuki dalam bidang ekonomi Islam dan muamalat melalui program pengajian yang menepati kehendak pihak berkepentingan serta penghasilan kerja akademik yang relevan dengan keperluan masyarakat.

Melahirkan graduan yang mempunyai sifat-sifat murni berikut:

  • Berpengetahuan (Knowledgeable)
  • Berkemahiran (Competent)
  • Kreatif (Creative)
  • Amanah (Trustworthy)

Mengendali penyelidikan dan menerbitkan hasil akademik yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Relevan
  • Menyumbang terhadap penyelesaian masalah masyarakat
  • Meningkatkan standard dan martabat Muslim
  • Mengadakan program-program penyelidikan, pengajian dan khidmat masyarakat yang berkualiti dan bertaraf global bagi menjana graduan, para sarjana dan ilmuan yang seimbang dari segi ilmu, pengetahuan, ketaqwaan kepada Allah swt. dan kecintaan kepada negara dan masyarakatnya;
  • Meneroka, membangun dan mengembangkan ilmu ekonomi Islam dan muamalat melalui penyelidikan, persidangan dan penerbitan bagi merintis dan memanfaatkan ilmu untuk pembangunan masyarakat dan negara, selaras dengan kehendak ajaran Islam yang suci lagi sempurna;
  • Memupuk dan menerapkan nilai-nilai insan yang bertaqwa, bermoral, beretika dan bertanggungjawab, berlandaskan kepada nilai-nilai murni Islam terhadap seluruh warganya, termasuk pelajar, graduan, para sarjana, tenaga akademik, pegawai dan staf sokongan, agar dapat menyumbang kepada pembangunan agama, negara dan masyarakat;
  • Memupuk golongan pelajar dan ilmuan akan sifat daya saing yang tinggi samada di peringkat tempatan atau global, saling hormat menghormati, tekal dan mampu berdikari bagi menjana sumber manusia yang bersifat insan Islam moden dan progresif;
  • Menjalinkan hubungan rapat dengan semua golongan masyarakat, industri, kerajaan, dan badan-badan profesional bagi memupuk kerjasama dan sama-sama menyumbang ke arah keselamatan dan kesejahteraan semua.