MAJLIS SYARAHAN UMUM TUANKU CANSELOR USIM 2017 KURSI AKADEMIK YAYASAN TUN ISMAIL MOHAMED ALI BERDAFTAR

Nilai, 15 Februari 2017 – Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku AIshah Rohani Tengku Besar Mahmud hari ini berkenan berangkat ke majlis Syarahan Umum Tuanku Canselor USIM 2017 di Universiti itu di sini. Majlis telah dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menggunakan kerjasama Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI), Permodalan Nasional Berhad (PNB). Syarahan telah disampaikan oleh Penyandang Kursi Akademik YTI, Y. Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar di Dewan Tuanku Canselor USIM dengan menampilan tajuk syarahan berjudul  “Critical success and failure factors in Islamic Finance in the 21st century : an insider and global perspective”. Majlis Syarahan Umum ini dilihat telah membantu para pelajar USIM mendapatkan sumber maklumat berkaitan kewangan Islam pada masa kini dan dapat menimba ilmu pengetahuan melalui perkongsian pengalaman daripada Penyandang Kursi Akademik YTI, di sini.

Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar yang juga merupakan Pengasas Amanie Advisors dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti berkata sejak bermula kira-kira 40 tahun lalu, kewangan Islam moden telah menunjukkan keupayaannya bersaing dengan sistem ekonomi dan kewangan konvensional. Hal ini dilihat dengan ketara semasa krisis kewangan 2007-2009 apabila sistem kewangan Islam menunjukkan daya tahan terhadap kejutan kewangan dan masalah kredit, katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri agar terus mendekati dan mendidik masyarakat tentang alternatif yang ditawarkan oleh industri. Turut hadir Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr. Musa Ahmad dan Dekan Fakulti ekonomi dan Muamalat, Prof Madya Dr. Amir Shaharuddin. Ketika Berucap pada majlis ini, Datuk Dr. Musa berkata prinsip Islamik yang tidak membebankan pengguna, mesra pelanggan, amanah, bertanggungjawab, dan menyekat sebarang bentuk penindasan patut dijaga dan harus dijadikan pilihan masyarakat. Katanya, ciri-ciri tersebut yang harus dinobatkan dan diperkasa bagi menggambarkan sistem kewangan yang benar-benar holistik dan syumul, selaras dengan ajaran Islam yang suci.

Majlis ini dimulakan dengan menyambut kehadiran Tunku Ampuan Besar dan disusuli nyanyian lagu negaraku dan lagu negeri sembilan. Majlis turut dihadiri lebih 1500 orang pelajar USIM, para pensyarah, rakan syarikat korporat  dan pihak media. Majlis ini kemudian diselangi dengan ucapan Naib Canselor USIM dan kemudian syarahan umum daripada penyandang Kursi Akademik dimulakan. Majlis diakhiri dengan penyerahan cenderamata daripada pihak USIM dan pihak Amanie Group kepada Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Majlis Syarahan Umum berkaitan Perbankan dan Kewangan Islam di bawah Kursi ini akan terus disambung dan diperkasakan pada bulan Ogos 2017. 

Disediakan Oleh :  MOHD NOOR FARIS BIN ZOOL

Jawatan           :  PEMBANTU PENYELIDIK YTI, FEM

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.