PERJUMPAAN PENYANDANG KURSI AKADEMIK YAYASAN TUN ISMAIL MOHAMED ALI BERDAFTAR BERSAMA PELAJAR SISWAZAH GSM

Nilai, 28 November 2016 – Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan perjumpaan Pelajar Siswazah GSM bersama-sama Penyandang Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI), Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu Y. Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar. Program perjumpaan ini dilihat telah membantu Pelajar Siswazah GSM mendapatkan sumber inspirasi dan menimba ilmu pengetahuan melalui perkongsian pengalaman daripada pakar syariah negara tersebut untuk menyiapkan penulisan dan penyelidikan masing-masing, di sini.

Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar yang juga merupakan Pengasas Amanie Advisors dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti berkata para pelajar perlu mencari tajuk kajian yang mampu dan relevan untuk dilaksanakan dan bukan menjadi pemenang atau “hero” dalam membuat kajian dengan memilih tajuk kajian yang terlampau tinggi taraf tingkatnya. Kajian yang dipilih haruslah mempunyai idea yang baharu dan sesuatu di luar kotak pemikiran. Para pelajar dinasihatkan agar membuat strategi dalam menyiapkan penulisan dan penyelidikan masing-masing. Antara strategi yang dikongsi adalah apabila datangnya sesuatu idea, secara langsung terus melakukan penulisan tanpa mengikut susunan bab dalam penulisan.

Bengkel ini dimulakan dengan pembentangan atau perkongsian daripada Penyandang Kursi Akademik YTI kepada lebih 100 orang pelajar GSM dan pensyarah yang hadir pada sesi perjumpaan kali ini. Sesi perjumpaan ini kemudian diselangi dengan sesi perbincangan dan pembentangan kertas cadangan penyelidikan dan penulisan daripada pelajar PhD dan Sarjana, GSM. Bengkel ini dipengerusikan oleh Y.Brs. Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Dekan FEM dan diraikan juga oleh para pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat.

Siri Bengkel berkaitan penyelidikan dan penulisan di bawah Kursi ini akan terus disambung dan diperkasakan pada 14 Disember 2016.

 

Disediakan Oleh       : MOHD NOOR FARIS BIN ZOOL

Jawatan                   : PEMBANTU PENYELIDIK YTI, FEM  

 

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.