BENGKEL DISKUSI PENYELIDIKAN KURSI AKADEMIK TUN ISMAIL MOHAMED ALI BERDAFTAR PADA TAHUN 2016

Nilai, 26 Oktober 2016 – Kehadiran Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, penyandang semasa Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI) Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena Bengkel Diskusi Penyelidikan memberikan cetusan idea dinamik dan gitu kepada kumpulan penyelidik Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pada hari ini, di sini.

Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar yang juga merupakan Pengasas Amanie Advisors dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti berkata penyelidik di kalangan staf akademik universiti hari ini perlu mengeluarkan idea penyelidikan yang bukan sahaja relevan, tetapi mestilah sesuatu yang baharu, di luar kotak pemikiran dan yang pasti mampu mengintegrasikan hubungannya dengan pihak industri, masyarakat dan kelestarian sejagat. Impaknya perlu tinggi dan mampu menyelesaikan situasi masyarakat dewasa ini terutamanya dari segi ekonomi semasa.

Bengkel ini dimulakan dengan pembentangan daripada kumpulan-kumpulan penyelidik yang telah dilantik sejak daripada pelantikan penyandang kursi akademik yang pertama dan diselangi dengan sesi perbincangan dan percambahan idea bagi memurnikan lagi hasil penyelidikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di bawah kursi ini.

Bengkel ini dipengerusikan oleh Y.Brs. Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Dekan FEM dan diraikan juga oleh mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah. 

Siri Bengkel berkaitan penyelidikan dan penulisan di bawah Kursi ini akan terus disambung dan diperkasakan pada 28 Oktober 2016. 

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.