DISKUSI PENYELIDIKAN FEM 2015 (KALI KE-8)

Nilai, 13 Mei 2015 – Diskusi Ilmu Penyelidikan Fakulti Ekonomi dan Muamalat kali kelapan berjaya dilaksanakan dengan kehadiran Y.Bhg. Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa bin Adwam Wafa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KOPSYA Angkasa sebagai penceramah jemputan kali ini.

 KOPSYA ANGKASA telah ditubuhkan dengan menggunakan platfom koperasi yang diberi mandat untuk menyediakan perniagaan perbankan Islam seperti tujuan asalnya. KOPSYA ANGKASA disokong dan disahkan secara rasmi oleh Menteri Koperasi, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan pada 07 Julai 2011, dan pembentukan KOPSYA ANGKASA telah didaftarkan secara rasmi dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa dalam ucapannya di bawah tajukRole Of Cooperatives
 In Development Of 3rd Economic Sector”
menegaskan kepentingan koperasi di dalam mengimbangi dunia ekonomi Islam terutamanya dari segi pengagihan yang saksama kepada watan dan ummah. Sistem ekonomi Islam yang bersepadu boleh dikategorikan kepada sektor awam, swasta, kebajikan dan persedirian. Sektor kebajikan adalah unik dalam sistem ekonomi Islam. Ia sama penting dengan sektor lain. Kegiatan dalam sektor ini dilakukan dengan menggunakan harta milik persendirian (sadaqah tatawwu’), awam dan boleh juga Bait al-Mal. Fungsi sektor kebajikan ialah untuk membantu golongan yang lemah, menyediakan skim kesejahteraan sosial (al-dhaman al-ijtima’i) sama ada oleh kerajaan atau persendirian serta menyediakan prasarana di peringkat asas.

Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa membentangkan kertas kerja beliau selama 2 jam dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli Fakulti dan Universiti. Majlis tersebut diakhiri dengan Sesi Penyampaian cenderahati kenangan daripada Fakulti serta jamuan makan.

 

 

Fakulti Ekonomi dan Muamalat,
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6306/6305, Faks: +606-798 6302, Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.