Kita sedia maklum bahawa institusi perbankan Islam telah berkembang pesat bukan sahaja di Malaysia bahkan di kebanyakan negara Islam yang lain. Setiap tahun, bank-bank Islam ini mencatat pertumbuhan yang memberansangkan. Ramai yang tertarik dengan kejayaan ini.

Namun begitu, di sebalik kejayaan yang dikecapi ada beberapa persoalan yang sering ditimbulkan terutama oleh penyelidik-penyelidik di universiti. Sejauh mana institusi perbankan Islam telah mencapai kehendak Maqasid Syariah? Adakah keperluan hidup masyarakat Islam menjadi semakin mudah dengan wujudnya bermacam-macam produk kewangan Islam? Adakah golongan usahawan Muslim lebih senang untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan mereka? Apakah sumbangan bank-bank Islam dalam mengatasi masalah kemiskinan?

Secara jujur, institusi perbankan Islam yang ada sekarang mengutamakan nilai komersial berbanding tanggungjawab sosial. Adakah perkara ini wajar? Bagi pengamal industri, tindakan ini wajar kerana mereka berdiri di atas ‘tiket’ perniagaan bukan bertujuan membuat kebajikan semata-mata. Jadi, semua persoalan Maqasid di atas tidak patut diletakkan di atas bahu institusi perbankan Islam sahaja!

Walau bagaimanapun, masyarakat sentiasa menaruh harapan kepada institusi perbankan Islam kerana title Islam yang dibawa. Bagi kebanyakan pelanggan, title Islam memberi gambaran bahawa bank-bank Islam akan lebih murah, lebih berhati-perut ketika mengutip hutang dan sentiasa memberi kelonggaran. Pendek kata, pelanggan-pelanggan mahukan suatu nilai tambah yang tidak dapat diperolehi di perbankan konvensional.

Pengamal industri sepatutnya ambil peduli tentang hal ini. Mereka tidak boleh selamanya bergantung kepada title Islam untuk menarik pelanggan. Produk perbankan Islam perlu ada nilai tambah yang sebenar untuk kekal bersaing dan seterusnya menjadi arus perdana.

Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin
Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM